Pemandu Lari Dari Hospital Selepas Kemalangan Ditahan Polis
20 JANUARI 2025
9.15 PAGI
TAWAU: Seorang lelaki berusia 22 tahun yang melarikan diri dari Hospital Tawau selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Mawar, Kampung Jawa, berjaya ditahan polis di Kampung Vietnam, Tanjung Batu, pada jam 7 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, memaklumkan suspek melarikan diri dari Unit Kecemasan hospital pada jam 2 petang bagi mengelak penahanan kerana tidak memiliki lesen memandu dan dokumen pengenalan diri yang sah.
Suspek ditangkap oleh pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik yang diketuai Asisten Superintendan Joan Lee. Sebelum itu, suspek mengalami kecederaan selepas kenderaan Proton Gen-2 yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas.
Tiga penumpang perempuan berusia 14 hingga 16 tahun yang turut berada dalam kenderaan hanya mengalami kecederaan ringan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
-RezaRahim/mediamlco.